Thursday 2 February 2017

KONSEP SEKOLAH PENYAYANG

LATAR BELAKANG 

Pendidikan adalah aktiviti berkaitan pembentukan dan perkembangan ilmu, kemahiran, kerohanian dan jasmani manusia. Sekolah sebagai organisasi yang didukung golongan pendidik menjadi wadah terpenting dalam menjana modal insan yang berketrampilan, terpuji di samping melahirkan insan yang intelektual. Hari ini, bidang pendidikan menjadi tonggak utama sesebuah negara dalam proses pembangunan. Maju atau mundur sesebuah negara terletak pada keberkesanan dalam sistem pendidikannya. Malaysia tidak terkecuali dalam usaha membentuk sistem pendidikan berkualiti bukan sahaja dalam aspek kurikulum, tetapi merangkumi komponen pendidikan lain seperti kokurikulum dan pembentukan sahsiah. Dalam hal ini, Kementerian Pelajaran memperkenalkan konsep ‘Sekolah Penyayang’ untuk melahirkan pelajar berketrampilan, sekali gus membendung salah laku murid. Konsep Sekolah Penyayang merupakan salah satu konsep yang penting dalam sistem pendidikan Malaysia. Ia mempunyai hubungan yang cukup erat dengan cabaran ketujuh dalam Wawasan 2020, iaitu masyarakat penyayang dan budaya penyayang. Konsep Sekolah Penyayang adalah konsep yang mampu menyumbang ke arah melahirkan masyarakat penyayang. Sekolah Penyayang juga mampu menjana generasi pelajar yang seimbang dari segi emosi, rohani, intelek, jasmani dan mempunyai disiplin diri yang tinggi.


Gejala vandalisme dan ponteng sekolah adalah fenomena yang agak kritikal di sekolah-sekolah pada masa kini. Gejala ini dapat ditangani apabila wujudnya sekolah penyayang. Kerana itu, pihak Kementerian menyarankan agar pihak sekolah menangani masalah ini, terutama ponteng sekolah dengan merealisasikan Sekolah Penyayang supaya para pelajar dapat dibimbing dengan penuh kasih sayang. Apabila wujud suasana kasih sayang dan bimbingan ini, murid akan terpikat, terpanggil dan tergerak untuk ke sekolah. ( Surat Pekeliling Ikhtisas Bil.6/1995, Bahagian Sekolah, Kementerian Pendidikan Malaysia, KP8591/Jld.VIII(9) bertarikh 5 September 1995) Perkara 28 Hak Kanak-kanak PBB Mengesyorkan supaya menggalakan perkembangan Pendidikan menengah dan rendah dalam pelbagai bentuk termasuk pendidikan am dan vokasional, mengadakan pendidikan terbuka kepada tiap-tiap kanak-kanak dan mengambil langkah yang sewajarya seperti memperkenalkan pendidikan percuma dan menawarkan bantuan kewangan jika difikirkan perlu.. Menurut Prof. Dr Chiam Heng Keng, (2008) Malaysia telah meratifikasi Konvensyen Mengenai Hak Kanak-kanak. Konvensyen ini menekankan kabajikan dan kesejahteraan kanak-kanak, terutama untuk perkembangan & perlindungan mereka. Dalam hal ini Dasar Kementerian sememangnya selaras dengan Konvensyen Hak Kanak-kanak (CRC). Para pendidik seharusnya menyokong dasar ini melalui amalan seharian mereka yang mengutamakan kesejahteraan kanak-kanak.

Dalam Hierarki Keperluan Maslow pula, kasih sayang merupakan salah satu keperluan asas yang perlu dipenuhi dan sesuatu yang penting dalam proses perkembangan dan kehidupannya. Sekiranya keperluan ini tidak dipenuhi maka proses perkembangan seterusnya akan terbantut. Glasser (2000) juga menyatakan manusia dilahirkan dengan lima keperluan antaranya keperluan survival dan kasih sayang . Galasser percaya bahawa keperluan terhadap kasih sayang dan dipunyai adalah penting kerana kita perlukan orang lain untuk memuaskan kedua-dua keperluan ini. Warga sekolah merupakan agen penting untuk memenuhi keperluan pelajar. Menurut al-Ghazali, hati kanak-kanak adalah bersih dan bersinar seperti mutiara dan lembut seperti tanah menyebabkan benih dapat disemai (Ihya’,Jil.III). Sekiranya dia dilatih dengan perangai yang baik, nescaya dia akan menjadi seorang yang baik, begitulah sebaliknya. Kanak-kanak dianggap amanah daripada Allah kepada kedua ibu bapanya (Hamid Fahmy,1990). Oleh itu, Sekolah Penyayang dirasakan adalah elemen penting dalam melahirkan warga negara Malaysia yang mempunyai minda kelas pertama. Apabila sekolah menyediakan suasana yang kondusif dan baik, akan menarik minat para pelajar untuk ke sekolah. Minda mereka akan dapat dibina dan diisi dengan unsur-unsur yang boleh membangun jati diri sebagai warga Malaysia yang membesar dengan acuan kita sendiri.

2.0 MATLAMAT 
Sekolah Penyayang jika diperkasakan mampu menjadi satu pendekatan berkesan untuk membendung masalah sosial murid dan menangani gejala ponteng sekolah. Sebagaimana diketahui umum, kes pelanggaran disiplin di sekolah biasanya berkisar dari masalah ponteng sekolah dalam kalangan murid. Oleh itu, satu mekanisma efektif mesti diambil untuk menarik kembali para murid agar mereka sentiasa seronok, suka dan sayang untuk meninggalkan kawasan sekolah serta tertunggu-tunggu untuk datang semula esoknya. Sehubungan itu, konsep sekolah penyayang bermatlamat untuk melahirkan modal insan yang cemerlang dari segi akademik dan mampu memenuhi kehendak pasaran kerjaya semasa. Konsep sekolah penyayang juga bermatlamat melahirkan individu yang baik dari segi amalan, sahsiah dan tingkah laku.

3.0 OBJEKTIF 
3.1 Mewujudkan pengurusan, persekitaran sekolah, guru dan kakitangan sekolah, murid, ibu bapa serta komuniti yang saling bekerjsama ke arah mewujudkan sekolah dan masyarakat penyayang.
3.2 Menerapkan nilai-nilai positif dalam kalangan murid, guru dan seluruh warga sekolah.
3.3 Membantu menangani pelbagai masalah sosial dalam kalangan murid.
3.4 Meningkatkan perasaan kasih sayang dalam kalangan guru dan kakitangan sekolah terhadap murid-murid di sekolah.
 3.5 Mewujudkan perpaduan dalam kalangan seluruh warga sekolah.

4.0 KONSEP
Sekolah Penyayang menekankan kepada beberapa konsep utama iaitu;
4.1 Mampu menyumbang ke arah melahirkan masyarakat penyayang.
4.2 Mampu menjana generasi yang seimbang dari segi emosi, rohani, intelek, jasmani dan berdisiplin tinggi.
4.3 Mampu melahirkan para guru dan warga sekolah yang ‘caring’ terhadap anak didik di sekolah dalam segala aspek.
4.4 Mampu meningkatkan jati diri dan amalan kepimpinan dalam kalangan guru dan kakitangan sekolah.
4.5 Mampu membina jati diri murid serta dapat mencungkil bakat kepimpinan dalam kalangan mereka.
4.6 Mampu melahirkan guru-guru yang “first in, last out” di sekolah-sekolah.

No comments:

Post a Comment