Friday 3 February 2017

Apa itu S.O.P 1:3:7 ?

LAPORAN ISU DISIPLIN MURID

Tujuan
1. Tujuan penyediaan Standard Operating Procedure (SOP) Laporan Isu Disiplin Murid ini adalah untuk menjadi panduan kepada Jabatan Pendidikan Negeri (JPN), Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) dan Sekolah dalam mematuhi tahap kesegeraan penyampaian maklumat dan laporan berkaitan isu pendidikan khususnya yang berkaitan disiplin murid kepada Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM).
2. Selain itu, adalah untuk menilai tahap prestasi sesebuah sekolah dengan mengambil kira pematuhan tahap kesegeraan tindakan bagi menangani isu disiplin murid.

Latar Belakang
3. Sejak kebelakangan ini, terdapat isu-isu berkaitan disiplin murid yang berlaku di sekolah telah disiarkan terlebih dahulu melalui media massa. Ini beerti pihak JPN/PPD lambat atau tidak melaporkan isu-isu tersebut kepada KPM. Laporan mengenai kejadian hanya disampaikan kepada KPM setelah beberapa hari berlaku atau setelah diminta oleh KPM.
4. Sikap sesetengah pentadbir sekolah yang gagal bertindak segera menghubungi KPM amatlah dikesali dan perlu diperbetulkan. Sehubungan itu, Y. Bhg. Ketua Pengarah Pelajaran Malaysia dalam perbincangan bersama Pengarah Bahagian Pengurusan Sekolah Harian (BPSH) dan Ketua Jemaah Nazir Dan Jaminan Kualiti (JNJK) KPM pada 8 Mac 2011 telah meminta agar perkara ini ditangani segera secara bersama dengan semua Jabatan Pendidikan Negeri (JPN).

Rasional
5. KPM sebagai ibu pejabat dalam semua hal berkaitan pengurusan pendidikan merupakan pihak yang perlu dimaklumkan terlebih dahulu berkaitan dengan sebarang isu mengenai tingkah laku tidak berdisiplin murid yang berlaku di sekolah.
6. Kelewatan dalam menyedia dan memberikan maklumbalas berkaitan isu disiplin murid kepada kepemimpinan tertinggi di KPM boleh menjejaskan reputasi serta prestasi bukan sahaja bahagian atau jabatan di bawahnya malah juga KPM secara keseluruhan.


Pelaksanaan SOP
7. Laporan berkaitan isu atau insiden yang melibatkan tingkah laku tidak berdisiplin oleh murid di sekolah hendaklah disampaikan dengan kadar segera oleh JPN kepada KPM. Segera bagi maksud SOP ini adalah seperti berikut;
7.1 Pada hari berlakunya kes atau insiden sekiranya berlaku di sekolah;
7.2 Pada hari kes atau insiden tersebar melalui media massa sekiranya kes atau insiden berlaku di luar sekolah atau dalam masa cuti sekolah atau sememangnya di luar pengetahuan pihak sekolah.
7.3 Sekiranya kes atau insiden berlaku di luar sekolah atau dalam masa cuti sekolah di mana pihak sekolah mengetahuinya maka hendaklah segera menyampaikan maklumat atau laporan tersebut kepada JPN.
8. Segera bagi maksud SOP ini juga dikira berdasarkan tempoh hari iaitu pada kadar 1 : 3 : 7 seperti Jadual 1.


Hari Pertama (hari berlaku kejadian di sekolah/ keluar media massa) .
1. JPN perlu siasat serta melaporkan isu disiplin di sekolah kepada KPM maklumat awal isu tersebut secara ringkas;
a. Apa (What)
b. Siapa (Who)
c. Di mana (Where)
d. Bila (When)
e. Tindakan awal (secara ringkas)
2. Maklumat awal ini boleh dihantar sama ada melalui SMS, e-mail, telefon (+ HP) atau talian Hotline di BPSH.
3. JPN boleh hantar laporan siasatan awal sekiranya siasatan dan laporan telah dapat disiapkan menerusi faksimili atau e-mail pada hari pertama kejadian. Boleh menggunakan borang PK04-3 (Pengurusan Aduan) sekiranya dapat disegerakan.

Hari Ketiga
1. JPN telah menjalankan siasatan serta menghantar laporan penuh kepada KPM termasuk tindakan yang sedang, akan atau telah diambil oleh pihak-pihak terlibat.
2. Menggunakan borang PK04-3.

Hari Ketujuh
1. Kes atau isu atau insiden yang berlaku telah diselesaikan di semua peringkat termasuk tindakan-tindakan yang perlu, atau hukuman atau penyelesaian lain yang telah dilakukan.
2. Penyelesaian perlu memaksimumkan kepuasan hati pihak-pihak yang terlibat.
9. Memastikan isu tingkah laku tidak berdisiplin oleh murid diselesaikan dalam tempoh tujuh hari di peringkat sekolah, PPD atau JPN. Penyelesaian dalam tempoh tersebut adalah penyelesaian yang berada dalam bidang kuasa pentadbiran sekolah, PPD dan JPN.
10. Sekiranya kes atau insiden tersebut melibatkan pihak berkuasa lain seperti pendakwaan di mahkamah, maka tempoh proses tersebut adalah tidak dikira dalam pelaksanaan SOP ini. Jenis dan Tahap Kes Untuk Kesegeraan
11. Dalam hal ini, tahap kes atau insiden yang memerlukan kesegeraan dihantar kepada KPM pada hari pertama adalah meliputi Kes Berunsur Jenayah, Kelucahan Melampau, Keracunan Makanan, Kemalangan Serius, Bencana, Buli, Pergaduhan, Isu Perkauman, Pendemik (contohnya H1N1), Histeria atau lain-lain isu yang pada pandangan pengetua atau guru besar perlu dilaporkan segera.

Tahap Prestasi Sekolah
12. Kepatuhan kepada tatacara tindakan seperti di Jadual 1 dan Jadual 2 juga akan diambil kira dalam menentukan prestasi sesebuah sekolah, PPD dan juga JPN. 4 Proses Tindakan
13. Proses tindakan adalah seperti di Jadual 2.
 Jadual 2 : Proses Tindakan Laporan dan Penyelesaian Kes Disiplin

LANGKAH 1
1. Sekolah siasat kes.
2. Sekolah ambil tindakan awal.
3. Sekolah buat laporan awal ke PPD atau terus ke JPN (bagi negeri tiada PPD).
4. Bagi kes/insiden yang serius, sekolah perlu terus lapor ke JPN. Sekolah

LANGKAH 2
1. PPD perlu semak maklumat yang diterima daripada sekolah dan perlu juga siasat.
2. PPD menghantar laporan awal ke JPN beserta ulasan dan pandangan awal PPD.
3. PPD perlu bantu sekolah dalam menyelesaikan masalah tersebut termasuk tindakan yang wajar.
4. Bagi kes/insiden yang serius, PPD boleh lapor terus kepada JPN atau KPM. Pejabat Pelajaran Daerah (PPD)

LANGKAH 3
1. JPN perlu semak maklumat yang diterima daripada PPD (siasat sekiranya perlu).
2. JPN menghantar laporan awal ke KPM beserta ulasan dan pandangan awal JPN.

LANGKAH 4
1. JPN perlu menjalankan siasatan selanjutnya serta menghantar laporan penuh kepada KPM termasuk tindakan yang sedang, akan atau telah diambil oleh pihak-pihak terlibat.

LANGKAH 5
1. KPM (BPSH) perlu membuat ulasan serta pandangan terhadap laporan dikemukakan JPN.
 2. BPSH perlu mengangkat laporan kepada KPPM.
3. Sekiranya perlu tindakan lanjut, BPSH perlu memaklumkan kepada JPN untuk diambil tindakan seterusnya.
4. JPN melaporkan semula kepada BPSH.

LANGKAH 6
1. BPSH mengkaji laporan akhir JPN. serta menentukan tindakan dari segi dasar operasi KPM BPSH Selesai

No comments:

Post a Comment