Saturday, 4 February 2017

Guru punca masalah disiplin?

ULASAN BUKU

Mungkin ada yang sedikit tersentak apabila mula-mula membaca tajuk yang penulis cuba perkatakan.Persoalan utama yang timbul di dalam benak fikiran , mengapa pula hanya guru yang harus dipersalahkan sedangkan guru bukanlah satu-satunya ejen dalam proses mendidik ini. Nmun begitu ikutilah kupasan buku tersebut agar menjadi pedoman kepada kita agar tidak terlalu cepat melenting.


Terdapat tujuh jenis masalah disiplin yang selalu berlaku di sekolah iaitu ponteng, datang lewat, rambut tidak terurus, merokok, peras ugut, ketagihan dan masalah sosial serius.
Setiap kategori berkenaan boleh menimbulkan pelbagai masalah disiplin lain seperti ponteng boleh menyebabkan pelajar terpengaruh dengan kumpulan jahat, merokok, menghisap dadah dan berfoya-foya.

Ketagihan juga mempunyai pelbagai jenis termasuk menghidu gam, pil khayal dan paling serius adalah pe­nyalahgunaan dadah. Masalah sosial serius pula merujuk kepada situasi pelajar tidak dapat mengawal perasaan sehingga bertindak di luar batasan dengan membunuh dan mencederakan rakan mereka. Kejadian itu berlaku disebabkan perasaan cemburu, iri hati dan hasad dengki sesama pelajar.

Walaupun banyak pihak cuba mengaitkan sikap negatif pelajar dan keluarga yang kucar-kacir sebagai punca berlaku masalah disiplin tetapi buku ini mendedahkan sebaliknya.
Pelbagai kajian yang telah dilakukan mendapati faktor utama yang perlu diberi perhatian ialah guru. Misalnya, dalam soal masalah disiplin paling banyak berlaku iaitu ponteng sekolah. Kajian mendapati pe­ngajaran guru tidak menarik akan menyebabkan pelajar kurang berminat untuk mengikuti sesuatu mata pelajaran.Sekiranya guru tidak berusaha menarik minat mereka, pelajar akan hilang semangat belajar dan mula ponteng sekolah.


Sikap guru yang suka berleter turut mempengaruhi pelajar untuk ponteng. Pelajar akan mencari tempat sesuai untuk melepak seperti premis hiburan bagi menghabiskan masa sehingga sesi persekolahan tamat pada hari berkenaan.
Satu lagi sifat guru yang tidak di­sukai pelajar adalah mengeluarkan kata-kata kesat dan kasar semasa memarahi mereka.Perlakuan itu akan menimbulkan kebencian pelajar terhadap guru dan seterusnya menyebabkan mereka tidak suka untuk datang ke sekolah.
Tindakan guru mengenakan hukuman berbentuk fizikal seperti merotan boleh mengakibatkan pelajar tidak suka terhadap sekolah dan seterusnya menyebabkan mereka ponteng.

Antara langkah yang boleh dilakukan guru bagi menangani masalah ponteng adalah pertama, memperkenalkan kaedah pengajaran menarik yang membuatkan pelajar sentiasa menantikan waktu mata pelajaran tersebut.Pelajar tidak bosan untuk belajar, bahkan merasakan sesi pembelajaran berlalu dengan begitu cepat.Kedua, guru harus memastikan pelajar memahami apa yang telah diajarnya dalam kelas.

Guru perlu mengelak memberi kerja sekolah terlampau banyak sehingga pelajar tidak dapat menyiapkannya.Pelajar tidak akan membuat kerja yang mereka sendiri tidak faham untuk melakukannya. Oleh itu, mereka tidak menyiapkan kerja sekolah diberikan dan memilih untuk ponteng kerana takut dimarahi guru.

Ketiga, guru seharusnya berusaha mewujudkan hubungan baik dengan semua pelajar tidak kira mereka pandai atau sebaliknya.
Elakkan amalan pilih kasih antara pelajar. Tindakan guru memberi perhatian lebih kepada sebilangan pelajar akan menyebabkan ada yang merasakan diri mereka disisihkan dan cenderung ponteng sekolah.

Dalam pada itu, buku berkenaan turut mendedahkan kajian mengenai masalah disiplin dalam kalangan pelajar di Singapura.Secara umumnya, jenis masalah disiplin berkenaan hampir sama dengan yang berlaku di Malaysia.

Cuma pengajaran yang boleh diperoleh daripada ­kajian di republik itu adalah apa yang akan berlaku kepada pelajar dan ibu bapa apabila mereka terdedah kepada arus pemodenan.
Kajian di Singapura mendapati, arus pemodenan tidak akan menyebabkan masalah disiplin semakin ­teruk dan jumlah kes tidak akan meningkat dengan ketara. Bagaimanapun, murid yang terlibat dengan masalah disiplin didapati lebih degil dan sukar dikawal.Kesan ketara daripada arus pemodenan yang menjadikan ibu bapa lebih berpelajaran adalah mereka bersikap kritikal dan membuat tuntutan berlebihan kepada sekolah dan guru.

Jika guru mengenakan hukuman terhadap anak-anak kerana masalah disiplin, ibu bapa cenderung untuk tidak menyokong tindakan tersebut.Cabaran besar pihak sekolah dan guru pada masa depan adalah untuk mendapatkan sokongan daripada ibu bapa.Untuk mengelak ibu bapa memberikan reaksi negatif terhadap tindakan dikenakan terhadap anak-anak, guru perlu menjadikan hukuman sebagai jalan terakhir.

Ingatlah, jika pelajar perlu dihukum secara kerap, ini adalah petanda ada sesuatu tidak kena terhadap cara guru mengendali kelas dan berinteraksi dengan pelajar.


Sama-samalah kita semua renungkan dan perbaiki segala kekurangan yang mungkin berlaku selagi kita bernama manusia.

No comments:

Post a Comment