Thursday, 26 January 2017

RMT

Keberkesanan dan kejayaan program RMT yang dilaksanakan boleh memberi kesan yang besar kepada mereka yang terlibat secara langsung dan tidak langsung dalam program ini. Mereka yang terlibat secara langsung dalam program ini iaitu murid, guru, pengusaha kantin dan masyarakat seharusnya telah berubah terutamanya dari segi penjagaan kesihatan , amalan penyediaan makanan dan amalan pemakanan.

 Aspek kebersihan makanan dan pengawasan yang berkesan serta penguatkuasaan berkaitan peraturan kebersihan terutama sekali semasa menyedia dan menghidangkan makanan kepada murid-murid untuk mengelakkan berlakunya keracunan makanan dan penyakit-penyakit yang berjangkit amat dititik beratkan. Murid mula mengamalkan membasuh tangan sebelum makan, menjaga kebersihan gigi dengan cara yang betul, berkelakuan baik, bersopan santun di meja makan serta duduk dengan cara yang betul dan mengunyah makanan dengan sebaiknya. Selepas makan , mereka juga diajar untuk membuang sampah dan menjaga kebersihan sekeliling dengan cara yang betul. Akhirnya murid ini membawa balik pengetahuan, sikap dan amalan yang dipelajari di sekolah kepada keluarga masing-masing ke dalam masyarakat.


Cadangan Ke arah Penambahbaikan Program RMT 

Seringkali apabila berbicara berkaitan RMT ramai dari kalangan guru yang seakan-akan menggaru kepala kerana pening memikirkan kaedah terbaik untuk memastikan murid RMT betul-betul terlibat mengambil bahagian untuk menikmati hidangan yang diberikan secara percuma kepada mereka.

Keadaan yang sebaliknya berlaku apabila murid RMT ada yang tanpa segan silu memberikan komen negatif bahawa makanan yang disediakan tidak sedap dan sebagainya dan bukan bersyukur atas pemberianNya. Mengapakah keadaan sebegini berlaku. Adakah betul dakwaan mereka atau sebaliknya terdapat isu yang perlu diperjelaskan oleh ibu bapa .

Penambahbaikan untuk program RMT adalah di antaranya mempelbagaikan menu makanan setiap hari supaya murid-murid tidak berasa bosan dan jemu terhadap sesuatu makanan serta memastikan murid-murid RMT makan pada setiap pagi. Selain itu, pihak sekolah boleh memberi ganjaran kepada murid RMT yang hadir dan makan setiap hari.

Ceramah kepentingan makanan berkhasiat dan seimbang turut boleh dijalankan. Ini adalah untuk memberi kesedaran kepada murid-murid RMT dan dapat mengetahui tentang kepentingan makanan berkhasiat dan seimbang. Program ceramah ini juga dapat membantu melahirkan murid-murid yang cergas dan sihat. Penerapan tentang kepentingan makanan berkhasiat pada waktu makan RMT turut boleh dilakukan oleh guru-guru RMT.

Selain itu, program penambahbaikan seperti demonstrasi mencuci tangan dengan cara yang betul turut boleh dijalankan. Murid-murid dapat mengetahui tentang cara-cara membasuh tangan dengan betul. Program seperti ini akan berjaya melahirkan murid-murid yang sentiasa menjaga kebersihan tubuh badan. Guru-guru RMT juga boleh menunjukkan demonstrasi mencuci tangan sebulan sekali. 

Ceramah kepentingan tentang pentingnya pengambilan sarapan turut boleh disampaikan kepada murid-murid khasnya kepada murid-murid RMT. Murid-murid dapat mengetahui tentang pentingnya dan baiknya mengambil makanan pada waktu pagi. Ini akan melahirkan murid-murid yang sentiasa cergas dan cerdas ketika belajar. Penerapan kepentingan mengambil sarapan pagi pada setiap minggu turut boleh dijalankan oleh guru-guru RMT.

Program datang awal ke sekolah akan dapat memupuk dan menjadi amalan untuk murid-murid datang awal ke sekolah. Program ini akan melahirkan murid-murid yang berdisiplin dan menepati masa. Pihak pengurusan RMT juga boleh memberi keistimewaan kepada murid RMT yang datang awal untuk membuat pilihan makanan serta makan terlebih dahulu daripada mereka yang lewat sebagai ganjaran.

Program memberi penerangan dan galakan tentang kebaikan makan pada waktu awal pagi perlu diteruskan kerana kurang kesedaran murid tentang pentingnya makan pada waktu pagi. Kajian mendapati kebanyakan murid-murid tidak suka bersarapan pagi kerana tidak mendapat kerjasama daripada ibu bapa, menu tidak sesuai dengan selera murid dan murid sendiri yang tidak biasa makan pada waktu pagi. Program ini mampu meningkatkan 100 % murid RMT untuk mengambil makanan pada waktu awal pagi.

Penerapan tentang pentingnya memakan sayur-sayuran kepada murid-murid yang tidak gemar makan sayuran yang terdapat dalam makanan. Penerapan ini mampu meningkatkan peratus murid untuk makan sayuran dan menggalakkan murid untuk makan sayur serta menyatakan kebaikan pengambilan sayuran.

Namun begitu apa yang pentingnya adalah kita mengharapkan agar kehadiran melebihi 95% bagi kedatangan RMT bukanlah angka yang susah untuk dicapai dengan adanya kerjasama semua pihak yang terlibat. Semoga berjaya.

No comments:

Post a Comment